“Cantik. Orang tubuh hot pakai apa pun cantik.” Ujarnya berseloroh. Aku jelir lidah dan ketap bibir. Geram dengan sikap acuh tak acuhnya. Aku segera duduk di sisinya, memaksa dia untuk mengengsot memberi ruang.
“Cantik tak?” Soalku lagi, kali ini dalam nada yang lebih serius. Aku sebenarnya sudah letih mencari pakaian yang sesuai untuk ke majlis perkahwinan teman akrabku itu. Amat tidak aku sangka akan menikah juga dia akhirnya. Aku kira tidak jadi. Maklum sajalah dia sudah agak lama hidup dalam penipuan. Lelaki sehebat dan sesempurna Rizal itu tergamaknya ditipu hidup-hidup. Aku dapat rasa geletar ketidakgamakannya itu menjalar di tubuhku seperti listrik. Keji!
Tangan Adam singgah di bahuku. “Pilih yang ungu tadi. Lebih cantik. Lepas ni kita boleh pergi makan, dan kemudian cari kasut pula. Saya letih.” Lembut sahaja dia menutur bicara. Aku angguk, bangun dan menyuruh gadis Tionghwa yang dari tadi tercegat di tepi cermin mendapatkan kebaya ungu yang mula-mula kucuba tadi, sempat memesan agar mendapatkannya dalam tiga saiz; lebih kecil, yang tadi dan lebih besar. Aku mahu cuba kesemuanya. Mahu betul-betul pasti. Mahu betul-betul muat. Adam keluar dari kedai, mahu merokok lagi. Aku biarkan sahaja.
*
Tatkala melangkah keluar dari kedai itu, menjinjing beg-beg kertas hasilan daripada membeli-belah sejak pagi tadi, matahari terus sahaja menikam ubun-ubunku. Aku puas, kebaya tercantik yang pernah aku beli sudah ada. Aksesori untuk dipadankan tidak perlu dicari kerana koleksi simpananku di dalam kotak kasut di bahagian paling bawah kabinet baju banyak tersedia. Aku boleh pilih dan suaipadan kelak. Aku mahu cari kasut. Sedang lenganku berkait pada lengan Adam, dan kami berjalan beriringan di kaki lima Bintang Walk yang sesak dengan manusia pelbagai rupa itu otakku ligat mencari-cari ilham untuk solekan dan rambut.
Tiba-tiba telefon bimbit aku berbunyi. Segera aku lepaskan kaitan lengan dan selongkar tas tangan. Apabila gajet itu sudah tergenggam, panggilan telah diletak sebelum sempat berjawab. Rizal yang telefon.
Ah, aku telefon kemudianlah.
“Jom, makan! Laparlah!” Rengek Adam. Aku angguk, peluk pinggangnya sekejap sebelum kami menyambung semula langkah yang terhenti. Aneh sekali, entah kenapa fikiranku tiba-tiba sahaja terganggu. Aku salahkan panggilan tadi. Bukan kerana Rizal yang menelefon, tetapi kerana sesuatu yang turut ada di dalam tas tanganku.
Laporan perubatan daripada Doktor Taufiq. Sudah tiga hari aku mendapatnya daripada hospital. Tetapi sehingga kini aku enggan untuk membuka dan membacanya.
Ah, realiti boleh tunggu sekejap. Sekarang aku mahu makan lasagna dan minum espresso!
*
“Jatuh cinta itu adalah seperti sedang mengusahakan teka silang-kata.” Itu adalah antara bait-bait merepek model kurus, kulit putih melepak yang bernama Cinta di belakang pentas ketika sedang bersiap-siap hendak terjah pentas catwalk.
“Huh?” Aku kurang faham.
“You know… alah… like crosswords puzzle, you try teka whatever the word is to fill in those boxes just by referring to that stupid clues. Kadang-kadang you terus dapat jawapannya, tapi most of the time mesti you akan cuba-cuba dulu before actually write. Betul tak?” Cinta berkata, model popular dari Indonesia popular yang diterbangkan khas untuk memenuhi kehendak pereka fesyen Rizalman, sedang duduk sambil membiar mukanya ditempek bedak asas. “Ah, just forget about what I have just said. I am just rambling.” Tambahnya lagi.
Aku yang sedang duduk, tersandar. Wajahku telah siap disolek, sedang menanti pendandan rambut melaksanakan magisnya pula. Sedang menanti itu otakku berfikir. Ada betulnya repekan Cinta itu. Jatuh cinta memang seperti membuat teka silang-kata. Berlandaskan klu-klu yang tidak jelas, kita mempercaturkan hati dan perasaan terhadap seseorang. Kadang-kadang kalau betul dan mengena, maka terisilah kotak-kotak itu. Kalau tidak, sila undur setapak dan fikir lagi, apakah dia yang kita mahukan? Benar!
Cinta, yang secara kebetulan namanya serupa seperti watak heroin dalam filem Indonesia yang sangat popular itu telah lama tiada sebenarnya. Setahun selepas aku berangkat ke Jepun, aku mendapat tahu dia telah meninggal dunia. Jatuh pitam ketika sedang beraksi untuk satu sesi fotografi. Bila dikejarkan ke hospital, doktor telah sahkan paru-parunya hitam legam bagai belerang. Dia tidak lagi mampu bernafas dengan sempurna. Lantaran itu, oksigen yang masuk tidak secara total, menyebabkan dia pitam dan tidak sedarkan diri.
Tidak lama selepas itu Cinta meninggal dunia. Kanser paru-paru yang sedang menjalar di dalam tubuhnya sudah tidak mampu lagi dibendung. Aku akui dia memang seorang perokok tegar, pemabuk tegar, dan langsung tidak percaya pada gaya pemakanan yang sihat. Anehnya, badannya tetap seperti kerengga. Aku cemburu.
Aku juga seorang perokok. Mula merokok sejak tingkatan tiga. Mulanya sekadar curi-curi gatal hendak cuba, minta sebatang daripada teman lelakiku ketika itu, si Faizal mata coklat. Kemudian kami akan sama-sama hisap rokok di belakang stor sebelah kantin sambil berpegangan tangan. Aku belajar tak pandai, walhal Faizal akhirnya terbang ke Jerman mengejar cita-cita menjadi jurutera automotif. Itulah kisah cinta pertamaku. Aku, dia dan rokok.
Aku tahu ia membawa mudarat, tetapi aku langsung tidak ambil peduli. Aku suka hisap rokok. Sekurang-kurangnya ia mampu kawal berat badanku agar tetap sekecil dan seramping manekin. Tetapi persepsi bodoh dan keenggananku itu akhirnya terhempas pada lantai realiti apabila suatu hari aku mulai pening-pening dan muntah-muntah yang menghasilkan tompok darah. Selepas diselidik dan diperiksa, aku sedang membiakkan sel kanser peringkat pertengahan pada paru-paruku. Mulanya aku tertawa dan menafikan kenyataan tersebut. Mana mungkin orang semuda aku menghidap kanser paru-paru? Bukankah kanser jenis itu hanya singgah pada mereka yang sudah berumur? Ketika Doktor Taufiq jelaskan hal yang sebenar, aku tunduk, tidak berani menghadap muka doktor berdarah Mamak itu. Aku gentar untuk menatap sepasang mata hitam berlindungkan kening lebat itu.
“Kamu mesti kawal cara hidup kamu. Buat masa sekarang tiada apa yang boleh saya lakukan. Rawatan radiasi pun belum tentu boleh sembuhkan. Cancer stage awak dah mulai advance untuk ke stage akhir. Awak perlu waspada.” Kata doktor kacak itu.
Aku telan liur.
“You tak apa-apa?” Soal Adam, mengembalikan aku ke masa kini, bukan lagi dua tahun yang lalu.
“Yes! Obviously!” Lancar sahaja aku berdalih sambil ketawa mengekek. Di bawah meja jemariku memegang erat sampul berisi laporan terkini daripada Doktor Taufiq. Hatiku meronta-ronta memaksa aku untuk membuang sahaja dokumen tersebut.
BAHAGIAN 2 - TAMAT